Saturday, October 11, 2008

Keluh Kesah Kalbu Kiah

Kipas di ruang tv rumahnya berputar ligat. Mata Kiah yang terlentang itu terus menatap siling rumahnya. Seolah-olah siling itu begitu menarik perhatiannya. Sepertinya Kiah dapat melihat saluran HBO secara percuma pada siling itu. Kiah masih lagi menatap siling rumahnya. Angin kipas Panasonic rumah pusaka arwah suaminya itu menghilangkan kepanasan petang jumaat itu. Perlahan-lahan suara Kak Bedah terngiang-ngiang di telinganya. Seperti baru tadi dia singgah ke rumah, membawa berita yang tak disangka-sangka.

“ Betul Kiah! Takkan lah Kak Bedah nak tipu pulak. Adik akak si Seman tu yang nampak. Anak perempuan kau tu lah, memang sah dah die tu selama ni buat kerja tu!” ujar kak bedah beria-ia. Tangannya digerak-gerak seperti karam singh walia semasa bercerita . bukan kerana minat pada wartawan itu, tetapi lebih kepada menunjukkan gelang baru.

“ Biar betul kak, anak saya tu berpelajaran! Sampai ke universiti! Takkanlah dia sanggup kerja macam tu. Tak tergamaknye die conteng arang kat muka saya ni” tempelak Kiah.

Pada fikirannya, Kak Bedah ni tak boleh dipercayai sepenuhnya. Apalagi reputasi beliau sebagai pembawa berita sensasi yang ulung di kampong ini. Lebih-lebih lagi sikapnya yang suka melaga-lagakan orang. Habis fitnah ditaburnya.

“ Betul Kiah, akak tak tipu. Memanglah akak pernah tipu mase main saidina minggu lepas, tapi ini cerita betul! Menda macam ni takkan lah akak nak buat main-main Kiah oi,” kak bedah mula meninggi suara.

“ Memang sah anak kamu si Suhana tu buat kerja tu. Bukan aku sorang je yang nampak, Lijah dengan laki dia pon nampak tau. Sekarang ni dah kecoh kat kampong ni Kiah pasal anak kau tu! Nama saje belajar tinggi-tinggi, akhirnya entah kemana. Aku ni saje nak beritahu kau, supaya kau tau. Anak sendiri pon tak tahu cerita. Padanlah laki mati awal!” sindir Kak Bedah menusuk tepat ke hati Kiah.

Kiah terus termenung merenung siling rumahnya itu. Perlahan-lahan matanya bergenang membasahi kedut-kedut di birai matanya. Sememangnya kedut-kedut itulah yang melambangkan umurnya serta jerit payahnya selaku ibu tunggal membesarkan sepuluh orang anak. Dia bukan orang berada. Jika tidak tentu kedut-kedut itu takkan terbentuk lantaran menggunakan SK-II. Wajah arwah suaminya mula terbayang dengan jelas. Rasa bersalah segera timbul. Adakah ini kerana salah dia yang tak pandai mendidik anak? Malu sungguh Kiah akan pekerjaan anak perempuannya itu. Manalah hendak disorokkan muka. Suhana tulah satu-satunya anak perempuannya. Tergamak sungguh Suhana pada fikirannya.

“Mak!! Mak!! Ini duit songket yang Che Saad bagi. Mak cik Timah kata tak dapat bayar lagi. Dia bilang jangan beritahu mak yang dia saje-saje malas bayar,” suara kuat anak bongsunya menyentak Kiah dari lamunannya.

“Terkejut mak! Kau ni lain kali bagilah salam dulu sebelum masuk rumah, buatnya mak heart attack, sape yang susah? Kita dan keluarga kita jugak yang susah tau!” suara Kiah meninggi sedikit menutup rasa malu kerana tersentak tadi. Cepat-cepat air matanya dikesat. Memang sejak semua anak-anaknya sudah meninggalkan rumah untuk ke menara gading dan bekerja, anak bongsunya Faizan lah yang menemaninya.

“Mak ni termenung panjang nampak, teringat kat awek ke?”

“Awek kejadahnye. Mak ni kanperempuan. Ko ni lain kali kalau nak pelempang mak, mintak terus je, tak payah berkias-kias pulak”

“Oh…begitu, mak pon kalau nak pelempang saya pon mintak je la, tak payah berkias-kias gak. Mak, ape yang mak termenung panjang tu? Story la siket”

Lidah Kiah kelu. Dia tidak berkata apa. Kalau diberitahunya si Faizan akan hal kakaknya itu, pasti dia malu. Bagaimanlah hendak dia kesekolah. Pasti malu menghadap rakan-rakannya lantaran perlakuan kakaknya. Sudah lah saban hari budak itu diejek rakan-rakannya hanya kerana tak hensem dan mendapat D+ dalam seni visual baru-baru ini. Sudahlah pakai line Digi, rambut belah tepi, tak tahu main Friendster pulak tu.

Bermacam-macam tohmahan yang diterima budak tingkatan 4 itu itu saban hari. Kalaulah dia tahu hal kakaknya, macam mana lah dia nak hidup. Pati dia malu. Mesti anaknye takde awek, permohonan biasiswa ditolak, tayar basikal pancit, tak boleh mengundi, dan macam-macam lagi. Namun kerana tiada tempat untuk Kiah mengadu, Kiah pon menceritakan hal Suhana itu kepada Faizan.

“Ala mak ni, ape salahnya Achik buat keje tu? Mak I tak open-minded la. Itu kan cari duit jugak” Faizan menyuarakan pendapat. Berkerut kening Kiah melihat reaksi anaknya.

“Ko ni Zan, bodo macam mak ko! Eh..bodo macam lembu. Ko tak malu ke Achik ko tu buat keje tu. Name je sampai universiti. Malu mak nak ngadap orang kampong..orang bandar ape tah lagi”

Runsing Kiah memikirkan hal anaknya. Maka setelah seminggu bermundar-mandir di dapur tanpa henti sementara anaknya nyaris mati kelaparan, dia mendapat satu akal. Nyata Kiah bukan calang-calang orang. Walaupun tidak ke universiti, tapi dia tidak pernah kandas dalam mana-mana peperiksaan besar seperti SRP atau MCE mahupun ujian lisan serta ujian memandu besama JPJ. Idea bernas itu segera terbayang di matanya.

“Hmm..cerdik jugak aku ni. Dah lah lawa, uban pun kurang. Bekas juara ratu kebaya 1969, solehah pulak tu” Kiah mula syiok sendiri dalam monolognya. Dalam fikirannya terbayang bagaimana plannya bakal berjalan. Terus dia memberitahu Faizan rancangannya. Lantaran disuap dengan prepaid topup RM30, Faizan akur sahaja.

Terbenam sahaja suria di kaki langit rancangan mereka pun bermula. Tangan Faizan mencapai gagang telefon usang rumahnya. Satu demi satu nombor telefon abang-abangnya didail. Masing-masing disertakan dengan khabar bahawa ibu mereka sudah tenat. Anak mana yang tak gelabah mendengarnya. Bercemperalah mereka hendak pulang ke kampung. Orang rumah dan anak-anak ikut sahaja. Suhana juga begitu. Sayang juga dia akan ibunya. Itulah dia hubungan kekeluargaan yang sebenar lagi sejati serta tulus dan mulus juga kudus. Seperti perumpamaan urang tua-tua, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.

Terpacak sahaja matahari di Kampung Teluk Paku itu keesokan harinya, sembilan buah kereta sudah tercegak di halaman rumah Kiah. Dari sekecil Kancil hinggalah sebesar Trajet. Semuanya tersusun melambangkan kemegahan Kiah selaku ibu tunggal yang berjaya. Namun apabila berkumpul mereka semua di pagi Sabtu itu, hairanlah pula mereka melihat ibu mereka tiada pula sakit tenat. Elok pula bergelak tawa bersama cucu-cucu, menonton kartun, minum kopi, hisap rokok, dan bermain gitar.

Habis sahaja rancangan Kelab Disney Malaysia, terus dipanggilnye kesemua anak-anaknya. Lalu diterangkan tujuan sebanar beliau iaitu untuk membuat mesyuarat tergempar pasal kes Suhana ini. Suhana hanya mampu menundukkan muka. Kesemua abang dan adiknya berpaling melihatnya. Tidak mereka sangka darah daging mereka sudah jadi begini.

“Apa benar segala perkataan mak itu Sue?” tanya Khairul perlahan dengan nada bersastera. Selaku anak sulung, sudah pasti dia terkejut mendengar berita ini.

Suhana hanya membisu. Bukan kerana bisu, kerana jikalau bisu, sudah tentu beliau mempunyai kad OKU. Dia membisu kerana tidak tahu lagu mana harus dijawabnya. Silap bicara, buruk padahnya.

“Cakap Sue! Beritahu mak Sue….katakan tidak Sue!” teriak Kiah yang kini teresak-esak sambil ditenangkan Khairul dan adik-adiknya.

“Memang betul mak. Selama ini Sue memang jadi penjaja cakoi dan air minuman di Jalan Selinsing lepas 5 bulan berhenti kerja. Tapi apa salahnya mak? Nabi dulu pun berniaga dan Sue buat kerja halal. Bukannya melacur, berlakon porno, atau model pakaian dalam!” tempelak Suhana. Tercengang ibu dan adik-beradiknya mendengar jawapan berani lagi beremosi Suhana.

“Tapi kenapa kau harus buat begini Sue? Kau tu kan graduan universiti. Susah payah kami sekolahkan kau, akhirnya jual cakoi. Muka bukannya lawa sangat, ujian lisan bahasa melayu pun kandas 2-3 kali. Kau nak bikin malu pada keluarga kita ni?” bicara Roslan selaku anak kedua. Memang dia dari dahulu bagai anjing dan kucing apabila dengan Suhana. Tak boleh dekat.

Perlahan-lahan Suhana menghirup kopi emaknya. Memang sedap kopinya itu. Pahit-pahit manis, suam-suam kuku. Lupa pula Suhana sebentar bahawa dia sedang dibicarakan dalam mahkamah keluarganya. Dibicarakan dan dia kini berada di kandang pesalah. Keluarganyalah juri, keluarganyalah juga pendakwa.

“Apa yang mak nak risaukan sangat? Cakoi dan air Sue tu laku tau tak mak. Sebenarnya Sue dah bosan kerja di bank tu. Pegi balik kerja langsung tak nampak matahari. Hari-hari kira duit orang. Duit kita tak juga menimbun banyak” jelas Suhana beria-ria. Ibunya masih lagi teresak-esak. Timbul pula rasa kasihan melihat ibu tuanya itu. Namun dia sudah nekad. Kerjanya itu tidak akan ditinggalkan.

“Kalau mak nak tahu, sehari jualan saya mencecah lebih kurang RM400 ringgit. Kadang-kadang sampai RM700. Sekarang ni kami dah dapat 4 tempat seminggu di pasar malam. Dah pakai pembantu pun. Jualan di pasar malam biasanya paling kurang pun RM300 sehari. Lagi bagus dari kerja di bank tau ” Suhana menjawab dengan tenang. Betullah kata bidalan, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Lantas Suhana menunjukkan buku simpanan BSN beliau yang memperlihatkan simpanannya setelah 5 minggu bergelar penjaja. RM 20 000.00 !! Lantas suhana menjelaskan bahawa jika dia masih bekerja di bank dengan gaji seribu dua sebulan, sudah pasti dia tidak sekaya itu.

“Walaupun Sue dah banyak duit skarang, Sue tetap tak lupa pada mak. Sue belikan mak mende ni ingat nak bagi masa raya haji nanti, tapi mak ambil je lah sekarang” ujar Suhana sambil menghulur sebuah bungkusan hitam.

Tekejutlah Kiah laksana beruk dan kera serta mawas dan seangkatan dengannya melihat isi bungkusan itu yang berupa gelang dan rantai emak dan beberapa jenis perhiasan diri lagi. Tiba-tiba Kiah berlari masuk ke biliknya.

Kiah mengunci dirinya dari dalam. Setengah jam dia berkurung. Setengah jam jugalah pintunya diketuk anak-anaknya. Setengah jam itu jugalah anak-anaknya merasa gelisah sekali terutamanya Suhana. Setengah jam itu jugalah anak-anaknya mundar-mandir memikirkan cara memujuk ibu mereka. Setengah jam itu jugalah rancangan bulletin 1.30 tengahari di TV3 berlangsung tanpa sedikit pun dipedulikan warga rumah itu. Sesudah itu pintu Kiah pun di buka.

Keluarlah Kiah dengan pakaian terbaiknya dan solekan terbaiknya. Terkedu lidah anak-anaknya melihat ibu tua mereka melaram sebegitu. Apa sudah gila ibu mereka ini? Apa ibu mereka sudah hilang akal kerana tak dapat menerima perbuatan Suhana? Tiba-tiba barang kemas pemberian Suhana tadi dicapainya dan dipakainya. Cepat-cepat beliau turun keluar rumah.

“Mak !! Mak nak kemana tu?” laung Khairul. Hairan sungguh mereka. Tidak pernah ibu mereka sedemikian rupa.

“Mak nak pergi rumah Kak Bedah kejap! Nak tunjuk barang kemas! By the way, mak restu pekerjaan kau Sue. Er..kalau boleh, mak nak join venture. Hehe..yahoo!! mak cik kayo!” terpekik-pekik Kiah sambil lari-lari anak menuju rumah Kak Bedah.

Perlahan-lahan kelibat Kiah hilang, meninggalkan 10 orang anaknya tercengang di halaman rumah .



_copied from http://lordhosni.blog.friendster.com/2008/02/keluh-kesah-kalbu-kiah/ _



.

2 comments:

Lily Cartina said...

aku gelak sorang di depan laptop ibarat orang gila membace cerite ko.

Lord Hosni the Wise said...

haha..thnx..x ramei yg sudi membacer ceghite yg pnjang ini..haha