Saturday, December 17, 2011

Rusuk Kiri Yang Hilang?

1. Semua penganut agama Samawi meyakini, bahawa permulaan manusia di muka bumi ini adalah Adam. Manusia pertama ini dicipta berseorangan dan hidup sepi di syurga.

2. Lantaran kesepian itu baginda memohon pada Allah, supaya dihilangkan sunyi itu, maka terciptalah Hawa sebagai teman.

3. Dari mereka itulah lahirnya keturunan manusia di muka bumi lelaki dan perempuan. Lelakinya berasal Adam, dan perempuannya berasal Hawa.

4. Kita orang islam meyakini bahawa Hawa dicipta dari tulang rusuk kiri Adam. Keyakinan ini datangnya melalui Hadis Rasulullah saw. Status hadis ini tidak dapat pula saya pastikan kesahihannya.

5. Ramai yang melihat hadis ini dengan fahaman bahawa Adam KEHILANGAN rusuk kirinya dek kerana penciptaan Hawa ini.

6. Lalu fahaman ini disebarkan luas, lagi-lagi di Alam Melayu. Perkara ini diulang-ulang dan kini sudah menjadi sebati pada kefahaman masyarakat kita. Berbagai puisi dan kisah romantik mula digubah hasil dari kisah ini dan tafsiran ini.

7. Fahaman bahawa Adam KEHILANGAN rusuk ini bukan sahaja tidak ada sandarannya dalam Dunia Ilmu Hadis (betulkan saya jika saya salah), malah terang-terang bersalahan dengan Sains!

8. Kenalkan saya, alim hadis manakah yang menafsirkan hadis tersebut sedemikian rupa? Walhal para ulama syafiee mengambilnya hanya sebagai kiasan! (betulkan saya jika saya salah)

9. Bukalah buku-buku teks anda atau kiralah rusuk2 anda atau saudara lelaki anda dan anda akan dapati bahawa tidak ada perkara mengarut seperti rusuk kiri yang hilang pada struktur normal anatomi manusia!

10. Mungkin anda akan fikir bahawa perkara ini kelihatan remeh dan kecil, tetapi bayangkanlah jikalau fahaman ini sampai kepada Non-Muslim yang berpengetahuan, maka sudah tentu
Agama Islam yang murni ini dilihat mengarut, tidak sejajar dengan sains, dan penuh rekaan!

11. Kehebatan ad Deen milik Sang Pencipta ini lantas musnah kemurnian dan kemegahannya apa bila diletakkan tidak lebih daripada kisah dongeng.

12. Walhal fahaman salah ini adalah angkara umatnya yang malas dan sambil lewa dalam menuntut ilmu. Maka disebabkan kecuaian kita ini, kemurnian dan keunggulan Islam itu tercemar.

13. Perkara-perkara seperti Hadis dan imej Islam ini bukanlah perkara yang boleh diambil lewah.

14. Menuntut dan menyebarkan ilmu memerlukan sikap hati-hati, cermat dan berdisiplin.

15. Semoga niat baik teguran saya ini dapat difahami dan andai kata ada kesalahan, sebarang komen bernas membina amat dihargai.