Saturday, January 24, 2009

Hikayat Bandar Penawar

Maka kembalilah kini Tuan Hosni, membawa ceritera baharu lantaran lama pula ia tiada berkarya. Saban minggu lamanya. Takut bosan pula tamu yang berkunjung.

Maka sudah lepas berapa-berapa minggu Tuan Hosni mengaji disini, maka diroyat pula oleh Guru Mutallib akan adanya satu temasya bersabitan hal ehwal dagang ini. Lantas jadi kepala budak budak niaga, maka geraklah sekalian mereka berdua belas ke Bandar Penawar. Akan yang ber tiga lagi itu tiada pergi karena asbab mereka jua. Cik Aminah, Cik Athifah, Cik Aini tiga-tiga mereka tiada sudi pergi. Biarlah, mereka juga punya pekerjaan lain.

Maka sebermula penjalanan mereka itu, giranglah adanya. Sungguhpun diketahui sekalian mereka bahawa mereka sekalian bakal hilang dua hari pengajian. Tiada pula mereka peduli. Tuan Hosni juga serupa.

Pergi mereka kesana, tiada pula mereka tahu akan hujung pangkal aturan pekerjaan di sana. Melainkan bermain permainan Catur Bistari, yang mana adik beradik ia dengan Monopoly dan Saidina kecuali lain nama dan caranya.

Banyak juga mereka berlatih, tiada pula sekalian mereka menang. Sayembara dua jam lamanya itu dari senyap bertukar kabut. Kasihan pula pada ahlul bank. Tiada cukup seratus tangan meladeni pemain berlima semeja. Si paling kaya pada malam sayembara itu orang tuan rumah sendiri juga, beroleh 35 juta lebih-lebih. Apa hairan, Tuan Hosni yang baik paras itu juga beroleh 2 juta. Sengaja ia beri muka. Takut malu pula tuan rumah.

Kasihan Tuan Hosni pada Si Bilah yang beroleh 64 ribu, namun semua pun gara-gara ahlul bank beliau yang tiada arif. Maka celaru pula segala urusan di meja beliau. Bukanlah gara-gara jahil Si Bilah. Tahu sudah Tuan Hosni yang orang-orangnya bagus-bagus belaka, cuma tiada bernasib mereka malam itu. Bak kata bidalan, sudah kepalanya bagus, maka badan sampai ke ekor akan bagus juga.

Malam lain pula beroleh pekerjaan lain pula. Berbahagilah sekalian peserta ikut madrasahnya. Diberi dua madrasah satu orang Guru dalam hal niaga. Guru-guru ini tiada lain tauke-tauke orang Melayu kita yang dijemput supaya boleh ia berkongsi nasihat dan pandangan sekalian kami pula perlu berbuat pembentangan fasal “perniagaan impian”. Beroleh lah kami sepatah dua nasihat berguna. Naik pula rasa kagum Tuan Hosni pada Gurunya, lantaran kuat pula ia berenang di laut ganas ini. Maka penuhlah masa petang itu dengan pembikinan paparan-paparan demi pembentangan kami.

Maka malam menjelang tiba, sudah ikut budi bicara, maka Tuan Hosni pun manjadi salah seorang pembentangnya. Awal-awal lagi sepakat kami memilih cacing sebagai perniagaan impian sekalian kami. Bukanlah berjual cacing shaja, namun jangka masa panjangnya membolehkan kami sekalian berbuat ubat sendiri. Manalah tahu.

Namun sedang mula bertutur di atas pentas di khalayak ramai, maka ketar-ketar pula Tuan Hosni. Tiada terdaya beliau lantaran ketar-ketar itu sudah natijahnya. Namun karena sudah ketar-ketar, kepala tiada fikir matlamat, maka tersasul Tuan Hosni menyerah mikrofon tanpa ia ingat pada gilirannya. Sudahnya, tambah cemaslah beliau. Sudah itu, tertangguh pula sampai Saudara Leman tiada sempat berbaca bahagiannya.

Tiadalah Tuan Hosni terdaya terus berhikayat lantaran malu teramat sangat. Barang yang berminat, tanyalah sekalian Ashabul Entrepreno. Tahulah mereka berhikayat. Sudah habis Tuan Hosni berbuat celaka, maka turun ia bergetap bibir tiada berbunyi sepatah. Malulah ia bukan kepalang. Malulah ia karena tiada upaya bercakap depan sekalian budak ramai-ramai. Salah beliau juga tiada siap siaga molek-molek.

Duduk senyap Tuan Hosni membisu malu, maka tepi-tepi beliau baik pula sekalian handainya. Tiada pula mereka marah-marah. Malah baik pula mereka berkata manis membuang cuka di mukanya. Mula-mula tiada mahu ia meladeni, namun akhir-akhir terlayan jua. Tuan Hosni fikir, apa guna dikenang barang yang sudah. Hanya iktibar sahaja mampu diambil.

Maka belajarlah Tuan Hosni ilmu baharu malam itu. Moga-moga tiada diulang silap yang sama. Namun, terharulah ia dengan sekalian handainya. Pandai pula jaga hati orang. Pandai pula berbuat kerja. Pandai pula berhujah depan orang ramai-ramai. Malu pula ia jadi kepala. Baik-baik mereka sekalian ini, tiada pernah berbuat onar.

Maka fikir Tuan Hosni, jika ditakdir beroleh beliau membuka syarikah, maka orang-orangnya pasti sudah di ambil dari Ashabul Entrepreno beliau ini.


Kita kan keluarga!~~

_

2 comments:

-miyn- said...

ahahaa~

oh hosni ahli keluargaku!

eh, bila nak maen tembak2 guna pistol yg ko beli tu?

Lord Hosni de Croquignolet said...

ada kesah sedih di sebalik pistol itu...nanti kite jumpak, aku cite..